Agro Surge hasil air tangan ‘wanita baja’ bersemangat tinggi

Lihat Disini: Kosmo! Wanita Baja 

PLATFORM PKS

PETALING JAYA – Pastinya agak janggal melihat seorang wanita begitu mahir dan arif tentang formulasi pembuatan baja untuk tanaman, namun itulah kelebihan yang dimiliki Pengasas syarikat Agro Surge Sdn. Bhd. (Agro Surge), Siti Hawa Jaafar dalam mengendalikan empayarnya.

Menjadi golongan minoriti dalam bidang tersebut pada awalnya bukan mudah untuk dihadapi apatah lagi untuk menarik minat penduduk kampung yang mana rata-ratanya terdiri daripada kaum lelaki yang melakukan kerja-kerja ladang mendengar ilmu baja yang mahu dikongsinya.

Pengalaman penduduk kampung membuat kerja ladang sejak kecil pastinya tidak boleh disangkal lagi oleh Siti Hawa, 35, sedangkan beliau hanya bertemankan fakta, formulasi serta produk berjenama lain yang dilihat agak asing buat mereka.

Disebabkan itu, beliau pernah dihalau ketika penduduk kampung melihatnya sedang meredah masuk ke ladang kelapa sawit mereka.

Insiden tersebut bagaimanapun tidak melemahkan dirinya untuk terus meneroka bidang perniagaan pembuatan baja berpotensi itu.

Kini, wanita yang berasal dari Felda Koyan 1, Raub, Pahang itu yang dibantu suaminya berjaya memiliki sebuah kilang pembuatan baja di Kampung Baru Su­bang, Shah Alam.

“Ketelitian untuk membuat formula serta kajian dan pembangunan bagi pembuatan produk dari peringkat awal hingga terhasilnya baja bukan satu perkara yang mudah.

“Banyak masa dan keringat terpaksa dikorbankan, tetapi semangat juang membuatkan saya berjaya menghasilkan produk sulung pada akhir tahun 2017 di kilang sendiri,” jelasnya.

Kini, selepas lebih 12 tahun terlibat dalam perniagaan tersebut, Siti Hawa berjaya membina empayarnya dengan jenama yang kukuh serta rangkaian yang semakin meluas.

Kilang pengeluaran Agro Surge berkapasiti 500 hingga 1,000 tan metrik sebulan itu turut memperoleh beberapa tawaran pembekalan baja kimia daripada syarikat swasta dan agensi kerajaan.

Ditanya mengenai hala tuju syarikat, Siti Hawa berharap Agro Surge akan menjadi pembekal dan pengilang baja kimia NPK utama di Malaysia.

Siti Hawa memberitahu, kapasiti kilang juga bakal di­tingkatkan kepada 3,000 tan metrik sebulan pada tahun hadapan berbanding 1,500 tan metrik pada masa sekarang.

“Antara faktor penyumbang kepada kenaikan tersebut adalah daripada cadangan syarikat untuk menaik taraf mesin penge­luaran yang melibatkan pelaburan kira-kira RM2 juta,” ujar beliau.

Kilang tersebut menghasilkan 14 produk baja dengan empat jenis segmen iaitu Sawit Emas, Durian Emas, Padi Emas dan Getah Emas.

Namun kejayaannya itu tidak terhenti di situ selepas bergelumang dalam bidang tersebut sejak tahun 2016 kerana banyak lagi tanggungjawab yang dipikul khususnya bagi me­ningkatkan kesedaran masyarakat tani terhadap kebaikan produk baja sebatian yang dihasilkan.

Baja hasil formulasinya itu memiliki gabungan semua unsur-unsur NPK yang boleh membantu mendapatkan hasil tanaman yang lebih baik dan berkualiti.

“Baja sebatian yang dihasilkan memiliki semua unsur NPK iaitu N untuk daun, P untuk akar dan K untuk buah dalam satu jenis baja. Oleh itu, ia akan memberi lebih penjimatan dari segi kos.

“Petani juga perlu didedahkan ilmu kesedaran dan pengetahuan tentang keperluan tanaman ma­sing-masing sama ada perlu lebih­kan N, P atau K dan sebagainya. ­Disebabkan kurangnya ilmu, para petani sering ditipu oleh penjual baja yang tidak bertanggungjawab.

“Selalunya saya akan kenal pasti masalah tanaman tersebut terlebih dahulu dan memberi bimbingan serta cadangan terhadap baja yang diperlukan kepada petani. Sebab itu saya suka menjual sambil memberi ilmu kepada petani,” katanya ketika ditemui di kilangnya baru-baru ini.

Siti Hawa memulakan langkah menceburi bidang tersebut hanya sebagai ejen jualan produk baja di sebuah kilang yang terletak di Johor.

“Saya berjaya mencatat jualan yang baik setiap bulan sehingga dipilih sebagai ejen terbaik di kilang berkenaan.

“Pengalaman yang mahal dan berharga itu menjadikan saya nekad untuk berhenti kerja dan mula membuka perniagaan sendiri dengan jenama sulung, Sawit Emas.

“Pada mulanya produk tersebut mendapat sambutan yang baik, tetapi lama-kelamaan kami berdepan dengan masalah pengeluar peralatan tulen (OEM) yang menghasilkan baja untuk syarikat tidak mampu meme­nuhi tempahan yang semakin meningkat.

“Dari situ, saya mula terfikir untuk menyahut cabaran membuka kilang dan menghasilkan baja sendiri.

Lihat Artikel Disini: Kosmo! Wanita Baja